Tuesday 10 March 2015

MPOB

Posted by Ladang Sawit_JERANTUT On 06:48 | No comments
Penanaman kelapa sawit di Malaysia telah diperkenalkan oleh kerajaan bertujuan untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan penduduk luar bandar. Pada tahun 1960-an, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah membuka tanah-tanah baru untuk diteroka dan dijadikan ladang kelapa sawit. Pembangunan dalam industri kelapa sawit amat memberangsangkan dengan penekanan diberikan kepada penyelidikan bagi menghasilkan kaedah baru dalam teknologi penanaman, penghasilan benih yang berkualiti dan penghasilan produk-produk baru berasaskan kelapa sawit. Kerajaan telah menubuhkan beberapa agensi yang bertanggungjawab ke atas perkara berkaitan tanaman sawit ini. Jabatan Pertanian Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1912, ditugaskan untuk melaksanakan dasar-dasar pertanian yang telah digariskan oleh kerajaan.


Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) pula ditubuhkan untuk mengkordinasi pembukaan tanah-tanah baru manakala Institut Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit Malaysia (PORIM) pula berfungsi untuk memberi tumpuan yang lebih besar dalam usaha-usaha pembangunan dan penyelidikan (R&D) seterusnya meningkatkan pengeluaran. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pula memainkan peranan penting dalam usaha mempromosi dan memperkenalkan faedah dan penggunaan minyak kelapa sawit di mata dunia.


Sebagai pengeksport minyak kelapa sawit yang terbesar di dunia, Malaysia pastinya memiliki formula kejayaan tersendiri untuk memperbanyakkan hasil menerusi usaha pembiakbakaan yang efektif. Dengan memperkenalkan program pembiakbakaan sawit, peningkatan hasil minyak sawit, kualiti minyak dan kadar ketinggian pokok dikaji dan kajian terhadap daya tahan perosak dan penyakit juga dilakukan.
Sedikit statistik yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia tentang tanaman kelapa sawit di Malaysia menunjukkan:-

  •  Terdapat seluas 4,853,766 hektar tanaman kelapa sawit di Malaysia pada tahun 2010 berbanding cuma 642,00 hektar direkodkan pada tahun 1975.
  • Bilangan ladang kelapa sawit pula mencatat angka 4,370 pada tahun 2010 berbanding 690 pada tahun 1975.
  • Pada tahun 2011, sebanyak 18.91 juta tan minyak sawit mentah telah dihasilkan, iaitu 11.3% lebih tinggi jika dibandingkan dengan pengeluaran pada tahun 2010.
  • Negara tembok besar China merupakan negara pengimport utama minyak sawit mentah negara kita. Pada tahun 2010, kadar eksport ke negara China adalah sebanyak 11.37 juta tan atau 68.2% daripada eksport minyak sawit Malaysia untuk tahun 2010.
Jika dilihat ketika berlakunya krisis kewangan dunia pada tahun 1997/1998, industri sawit telah mampu menyelamatkan ekonomi negara. Pada ketika itu, industri sawit telah dapat kekal berdaya saing dan telah memainkan peranan sebagai penyelamat ekonomi negara. Permintaan terhadap minyak sawit mentah dan produk berkaitannya terus kukuh walaupun keadaan ekonomi pada ketika itu tidak stabil.

Kemampuan negara dalam memenuhi kehendak pasaran dunia juga amat bergantung kepada produktiviti pengusaha ladang kelapa sawit yang mana kebanyakannya adalah pekebun kecil atau peneroka. Walau bagaimanapun, produktiviti sawit bergantung kepada usia tanaman itu. Bagi memastikan keberkesanan dalam pengeluaran hasil yang lebih tinggi, peneroka ladang kelapa sawit telah disarankan supaya melakukan penanaman semula ke atas pokok-pokok sawit yang sudah berusia lebih 20 tahun.

Siapa sangka 80% daripada minyak sawit yang dihasilkan di Malaysia digunakan sebagai produk makanan manakala selebihnya digunakan dalam pembuatan produk makanan. Terdapat 3 bahan utama yang dihasilkan daripada buah kelapa sawit yang telah diproses di kilang. Bahan-bahan itu ialah:-

  • Isirung kelapa sawit – Digunakan sebagai bahan makanan untuk ternakan. Setelah diproses ia juga boleh dijadikan bahan serbuk pencuci dan asid lemak.
  • Minyak isirung kelapa sawit – Terlalu banyak kegunaan minyak isirung kelapa sawit antaranya seperti diproses untuk membuat marjerin, lemak makanan dan aiskrim. Penggunaan minyak isirung kelapa sawit dalam pembuatan aiskrim menjadikan ia lebih lembut dan gebu, serta tidak mudah rosak. Ia juga boleh diproses untuk dijadikan bahan sabun pencuci, asid lemak, bahan untuk alat solek, minyak gris, minyak pelincir, lilin dan ubat-ubatan.
  • Minyak sawit mentah – Paling sesuai untuk membuat makanan seperti marjerin dan lelemak makanan. Adunan minyak sawit dan minyak isirung sawit juga telah terbukti dapat menghasilkan produk krimer bukan berasaskan tenusu. Produk krimer berasaskan minyak sawit terbukti dapat bertahan lebih lama malahan rasanya lebih enak! Jangan tak percaya minyak sawit mentah juga boleh diproses untuk dijadikan serbuk santan kelapa. Serbuk santan ini lebih berkhasiat kerana ia mengandungi kandungan lemak tepu yang rendah. Rasanya juga lebih sedap dan tidak mudah basi.

Walaupun Malaysia sudah tercatat sebagai negara pengeluar utama minyak sawit dunia, tetapi tidak semestinya gelaran itu akan kekal bersama kita selama-lamanya. Ternyata terdapat banyak halangan yang perlu dihadapi oleh negara untuk terus kekal sebagai peneraju dalam pengeluaran minyak sawit dunia. Permintaan dunia terhadap minyak sawit mentah adalah tidak stabil menyebabkan harganya turun naik. Sekatan tarif dan bukan tarif yang bertujuan untuk mengehadkan penembusan pasaran tempatan, seperti yang dilakukan oleh Kesatuan Eropah, memberi impak kepada harga pasaran minyak sawit.


Seperti yang diketahui umum, Malaysia bukanlah satu-satunya negara pengeluar minyak sawit dunia, malah negara-negara di selatan Amerika dan benua Afrika turut menanam pokok kelapa sawit untuk mendapatkan minyaknya. Oleh itu, Malaysia terpaksa bersaing dengan negara-negara pengeksport minyak sawit. Negara pengimport pula berpeluang untuk membuat pilihan dan memilih negara yang menawarkan kualiti minyak yang terbaik untuk menjadi pembekal minyak sawit ke negara mereka.


Pada hujung abad ke-20, kumpulan penyokong alam sekitar dan pengguna di Eropah dan Amerika Syarikat telah melancarkan kempen anti minyak sawit. Kempen ini dilancarkan oleh kumpulan ini atas dakwaan bahawa lemak tepu minyak sawit meningkatkan paras kolesterol darah seterusnya menjadi salah satu punca penyakit jantung. Minyak sawit juga didakwa sebagai salah satu ejen penyakit kanser. Kumpulan ini kemudiannya mencadangkan alternatif untuk menukar penggunaan minyak kelapa sawit kepada minyak kacang soya dan bunga matahari. Kumpulan penyokong alam sekitar ini juga mendakwa penebangan hutan bagi tanaman sawit mencabul hak asasi manusia di samping memusnahkan habitat orang utan. 



Namun begitu, dengan berbekalkan bukti-bukti kukuh yang diperoleh daripada penyelidikan yang dijalankan oleh PORIM, negara kita mampu menangkis serangan berkenaan. Kesan buruk kempen yang dijalankan oleh negara-negara pengeluar minyak sayuran tersebut tidak menjejaskan pasaran dan permintaan daripada negara-negara pengeksport minyak sawit yang sudah lama berdagang dengan negara kita.


Kenaikan dalam kos pengeluaran, bahan api dan upah menyebabkan kos pengeluaran minyak ini menjadi semakin meningkat. Malaysia juga menghadapi masalah kekurangan kilang pemprosesan. Buah-buah kelapa sawit ini terpaksa dihantar ke kilang yang paling dekat, menyebabkan mutu minyaknya berkurangan kerana buahnya lambat diproses. Ladang-ladang juga mengalami masalah kekurangan tenaga pekerja tempatan, dan masih banyak bergantung kepada buruh asing bagi kerja-kerja penuaian, penjagaan am dan penyelenggaraan ladang kelapa sawit. Pekerja tempatan kurang berminat untuk bekerja di ladang kelapa sawit atas sebab kos upah yang murah dan kerja yang memenatkan.


Selain itu, Malaysia juga menghadapi masalah tanah yang terhad untuk penanaman kelapa sawit dan hanya bergantung kepada kawasan perladangan sawit yang sedia ada.
Ladang kelapa sawit juga tidak terlepas daripada serangan serangga seperti kumbang badak dan penyakit ganoderma yang menjadi ancaman kepada industri. Serangan secara besar-besaran mampu menggugat pengeluaran minyak sawit kerana pokok kelapa sawit yang diserang musnah sama sekali. Di samping itu, faktor cuaca juga turut memainkan peranan penting dalam menentukan pengeluaran minyak sawit. Cuaca panas dan kemarau serta berjerebu akan turut mendatangkan kesan buruk kepada pokok kelapa sawit.


0 comments:

Post a Comment